Director of Operations Dominik Stillhart during his visit to the Mirwais Regional Hospital, Afghanistan

Afghanistan: Malapetaka buatan manusia yang memberangkan membawa penderitaan besar kepada keluarga Afghanistan

Berikut adalah kenyataan daripada Dominik Stillhart, pengarah operasi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), di akhir lawatan enam hari ke Afghanistan:
Article 25 November 2021 Malaysia

Saya geram. Gambar kanak-kanak yang kurus kering sehingga menampakkan benjolan tulang menimbulkan rasa ngeri. Apabila anda berada di wad kanak-kanak di hospital terbesar di Kandahar, melihat ke dalam tatapan mata kosong kanak-kanak yang kelaparan dan wajah sedih ibu bapa yang terdesak, keadaan itu benar-benar memberangkan.

Ia sangat memberangkan kerana penderitaan ini adalah buatan manusia. Sekatan ekonomi yang bertujuan untuk menghukum mereka yang berkuasa di Kabul sebaliknya menyebabkan jutaan orang di seluruh Afghanistan tidak dapat bekalan asas yang mereka perlukan untuk kelangsungan hidup mereka. Komuniti antarabangsa berpaling tadah ketika Afghanistan terhuyung-huyung di tepi jurang malapetaka buatan manusia.

Sekatan ke atas perkhidmatan perbankan menyebabkan ekonomi jatuh teruk dan menyebabkan kelewatan bantuan dua hala. Pekerja perbandaran, guru dan kakitangan kesihatan belum dibayar gaji selama lima bulan. Mereka berjalan kaki sehingga dua jam ke tempat bekerja dan bukannya menggunakan pengangkutan awam. Mereka tiada wang untuk membeli makanan; anak-anak mereka kelaparan, menjadi kurus secara berbahaya sehingga mati.

Di unit rawatan rapi pediatrik di Hospital Wilayah Mirwais di Kandahar yang disokong oleh ICRC, bilangan kanak-kanak yang mengalami malnutrisi, pneumonia dan dehidrasi meningkat lebih dua kali ganda dari pertengahan Ogos hingga September.

Secara lebih luas, global acute malnutrition (iaitu ukuran status nutrisi populasi) yang teruk dan sederhana meningkat 31% di sekitar Kandahar berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020. Di wilayah yang berlainan tahap keterukan malnutrisi kanak-kanak boleh sehingga tiga kali ganda tahap kecemasan. Ini adalah krisis makanan yang serius walaupun sebelum musim sejuk yang akan memburukkan lagi keadaan bermula.

Bantuan-bantuan baru untuk hospital

Dalam keadan yang amat menyakitkan hati ini terdapat secebis harapan: Sejak hari Isnin ini, ICRC mula memberi bantuan kepada 18 hospital serantau dan wilayah serta 5,100 kakitangan yang bekerja di dalam hospital-hospital tersebut untuk membantu mengelakkan keseluruhan sistem kesihatan awam di Afghanistan lumpuh.

Bantuan ini, yang dijadualkan untuk selama enam bulan, termasuk pembiayaan untuk kos pengendalian dan bekalan perubatan, dan akan memastikan kesinambungan hampir setengah juta konsultasi perubatan setiap bulan.
Tetapi ia tidak mencukupi.

Kemarau, hasil tuaian yang mengecewakan, dan krisis ekonomi semuanya mendorong peningkatan malnutrisi. Kos makanan yang semakin meningkat menyebabkan protein dan makanan ruji lain menjadi sesuatu yang tidak mampu dibeli. Apabila musim sejuk yang melampau dengan suhu di bawah paras beku bermula, penderitaan akan menjadi lebih teruk kerana orang ramai kekurangan wang tunai untuk memanaskan rumah mereka.

Apa yang boleh dilakukan? Pertama, keterlibatan negara-negara dengan Afghanistan diperlukan. Ini adalah satu-satunya cara untuk mengelakkan kelumpuhan menyeluruh perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan. Pertimbangan politik tidak sepatutnya masuk campur tindakan kemanusiaan. Solusi politik mesti dicari untuk mengelakkan impak kemanusiaan yang tidak boleh diperbaiki.

Walaupun ini isu teknikal, ia sangat penting. Bantuan asing kepada Afghanistan kini dipersoalkan kerana penderma bertanya kepada diri mereka sendiri bagaimana mereka boleh mematuhi kewajipan undang-undang mereka kepada resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan.

Ringkasnya, sesetengah penderma membuat keputusan sama ada boleh mematuhi resolusi dan undang-undang mereka sendiri -- dengan itu menafikan bantuan yang dapat menyelamatkan nyawa -- atau memberikan bantuan sedemikian melalui organisasi seperti ICRC dan lain-lain.

Pembekal dan perkhidmatan perbankan akan menghadapi halangan yang sama. ICRC menyeru agar pertubuhan kemanusiaan yang tidak berat sebelah dapat terlibat dalam aktiviti-aktiviti semata-mata untuk sebab kemanusiaan, dan memastikan ia diperuntukkan dalam undang-undang domestik. Adalah menjadi kepentingan semua orang supaya aktiviti kemanusiaan dapat berjalan lancar di Afghanistan.

ICRC akan meningkatkan respons kami terhadap keperluan kemanusiaan yang paling mendesak, memandangkan musim sejuk yang tragis akan bermula, tetapi bantuan kemanusiaan hanyalah sebahagian daripada solusi. Keperluan sedia ada dan yang dijangka akan datang adalah di luar kapasiti mana-mana organisasi kemanusiaan untuk menangani atau menyelesaikannya.

Menurut laporan IPC terkini, lebih 22 juta rakyat Afghanistan akan menghadapi krisis atau tahap kecemasan kelaparan antara November dan Mac 2022. Keadaan terdesak dapat dilihat dimana orang ramai beratur di hadapan bank pada pukul 5 pagi dengan harapan mereka dapat mengeluarkan sedikit wang tunai.

Mata kekosongan kanak-kanak yang kelaparan bukanlah sesuatu yang dapat dilupakan segera. Ia membuatkan rayuan saya kepada komuniti antarabangsa lebih mendesak: bahawa ia harus mencari solusi kreatif tanpa berlengah untuk menyelamatkan jutaan rakyat Afghanistan daripada keadaan amat kekurangan dan terdesak.

Akhirnya, ini adalah untuk kepentingan semua orang kerana ia akan membantu menghalang Afghanistan daripada kembali ke dalam konflik dan keganasan, dan membolehkan rakyat Afghanisatan kekal tinggal di negara mereka.